Jumat, 22 Juni 2012

Oleh:Al-Marhum Sayyid Muhammad Husayn Al-Tabatabai


Konsep Al-Wilayah
Kita yang hidup di alam cakarewala ini, secara kehidupan bermasyarakat tidak akan melalui kehidupan ini secara sewenang-wenangnya. Sebaliknya setiap seseorang dari kalangan kita mesti menyumbangkan saham yang besar dengan mengorbankan keupayaan kebendaan dan pemikiran untuk menangani kehidupan ini sebaik mungkin. Selanjutnya kita seharusnya mencurahkan seluruh keupayaan dan tenaga berkelompok kita dalam membataskan kedudukan sosial dan keperluan yang tersendiri.

Sumbangan secara berkelompok ini tidak akan sempurna di dalam menangani persoalan kehidupan selagi ianya mengurangi kebebasan individu yang sepenuhnya dalam aspek pemikiran dan amalan. Dan tidaklah wajar bagi seseorang individu yang ingin menyertai masyarakat manusia dalam menegakkan kehidupan kebendaan dan pemikiran itu dengan memaksa mereka tunduk secara mutlak terhadap pemikiran, tindakan dan sasaran peribadinya. Berikutnya mengasingkan pemikirannya yang tersendiri itu dengan kepentingan kelompok manusia yang banyak.
Tidak dapat tidak untuk memberikan sumbangan yang berkesan di dalam masyarakat manusia serta melicinkan perjalanan kehidupan seseorang itu hendaklah merasai dan menjiwai aspirasi masyarakat serta melupakan setengah daripada kebebasan dan kemerdekaan peribadinya.
Sungguhpun demikian, tidaklah seseorang itu wajar menghilangkan seluruh kebebasan dsan keperibadiannya di dalam kehidupan masyarakat. Apa yang dimaksudkan di sini ialah tidaklah seseorang peribadi itu bersebati secara mutlak di dalam dimensi kemasyarakatan tanpa memelihara kepentingan dirinya atau sebahagian daripada kepentingan perseorangannya serta kebebasan peribadinya.
Kewujudan masyarakat tidak pernah mengenepikan kewujudan individu-individu. Nisbah masyarakat jika dibandingkan dengan individu-individu itu adalah umpama gambar dengan benda asal. Oleh itu tidak mungkin untuk menghasilkan gambaran masyarakat ini dengan keadaannya yang asal selagi tidak wujudnya kesan keperibadian itu.
Dengan demikian setiap aspek individu berkaitan rapat dengan kelompok kemanusiaan. Sekiranya keadaan seseorang itu terpisah dengan yang lain serta tidak berkaitan dengan kepentingan orang lain nescaya tidak seorang pun berhak memasuki ke gelanggang kemasyarakatan. Akan tetapi seandainya dikemukakan ke atas seseorang individu setengah daripada keadaan-keadaan pengecualian seperti hilang akal, kecacatan dan faham assabiyyah yang telah menghilangkan pimpinan pemikirannya yang khusus, maka mereka yang demikian diharamkan dari mendapat hak membelanjakan harta bendanya serta kebebasan pemikiran dan tindakannya dalam hal ehwal keperibadian serta tidak pula berhak memikul tanggungjawab kemasyarakatan.
Melewati segala perbincangan tadi adalah didapati di dalam masyarakat itu konsep persamaan kemasyarakatan yang menyeluruh yang tidak tertentu kepada sesuatu peribadi atau hanya berhak kepada sesuatu peribadi yang istimewa yang terpisah dari susun lapis masyarakatnya. Kebanyakan daripada usaha menangani masyarakat adalah sedemikian rupa kedudukannya walau bagaimana bentuk dan aspeknya sekalipun.
Adalah tidak wajar bagi seseorang manusia yang hidup dalam suasana kemasyarakatan di dalam sesuatu kelompok masyarakat manusia tetapi dia tidak berpegang dengan ketetapan-ketetapan kemasyarakatan yang memberi faedah kepada hal ehwal masyarakatnya. Dengan itu tidak mungkin sama sekali akan sempurna kehidupan kemasyarakatan tanpa diisi dengan ketetapan-ketetapan ini di dalam semua dimensinya yang memelihara hak-hak perseorangan dalam mempergauli orang lain. Di samping itu juga iannya memelihara kepentingan umum daripada penindasan orang perseorangan.
Hanya dengan ketetapan-ketetapan kemasyarakatan ini sahajalah yang menjamin perjalanan hidup dan penyusunan hal ehwal kemasyarakatan. Dan manusia, sama ada dalam kehidupan bermasyarakat atau atas daya keupayaannya untuk melupai runtunan-runtunan kehendak peribadi di dalam dirinya adalah merupakan makhluk Allah yang terdiri daripada daging dan darah, khususnya dengan dorongan-dorongan dan keinginan peribadi sering berlawanan dengan kepentingan orang lain dalam banyak perkara yang berhubung dengan hal ehwal kemasyarakatan dan yang berkaitan sama dengan kepentingan peribadi. Runtunan keperibadian atau egoisme (Al-Ananiyyah) dalam dirinya itu mengatasi tuntutan orang lain.
Pertentangan ini ditinjau dari segi citarasa dan kepentingan membawa kepada pertarungan dan perpecahan di dalam gelanggang kemasyarakatan serta di antara kelompok manusia. Malah melewati pertikaian mengenai sistem dan keselamatan masyarakat.
Kehidupan sosial tidak akan bersih dan berjalan lancara serta tidak akan berlangsung secara teguh tanpa wujudnya di sana suatu kekuasaan dan kewibawaan kuasa pemerintahan masyarakat yang mengatasi kecenderungan-kecenderungan keperibadian serta yang memelihara keadilan sosial dan menjadikan sesebuah masyarakat itu penuh kerahmatan dan bahagia.
Kelompok-kelompok manusia itu tidak berbeza dengan apa yang kita sebutkan tadi, sama ada dilihat dari aspek ketentuan kehidupan peribadi atau kemasyarakatan. Sesuatu golongan dari kalangan masyarakat manusia dari seluruh penjuru dunia tidak akan bergabung sehingga lahirnya kesatuan penyusunan hal ehwal kemasyarakatan mereka. Selanjutnya setelah terlaksananya ketetapan- ketetapan kemasyarakatan serta penghalaan kegiatan sosial da terpeliharanya batas-batas dan hak-hak.
Kami memanggil kepentingan kemasyarakatan ini yang membangunkan seseorang melaksanakan kewajipannya serta memelihara hal ehwal masyarakatnya sebagai....al-wilayah (yang bermaksud daerah penguasaan).

Landasan Perbahasan
Kita akan cuba dalam memperkatakan perkara itu untuk menghuraikan konsep al-Wilayah yang berhubungan dengan keadaan dan hukum-hukum dalam batasan pandangan kemasyarakatan Islam. Dan kita tidak ingin untuk mengariskan pengkajian ini secara pendekatan kajian feqh atau perundangan Islam. Malah para pengkaji hal ehwal feqh Islam dan kepimpinan Islam (Imamah) khususnya mengetahui bahawa garisan yang diikuti dalam pengkajian ini amat berbeza dengan landasan-landasan fiqh dalam cara membuat istinbat (merumus hukum).
Al-Wilayah Ditinjau Dari Sudut Fitrah (naluri kemanusiaan)
Al-Wilayah dilihat dalam konteks fitrah kemanusiaan tidak tertentu hanya kepada sesuatu ummat semata-mata demikian juga ia tidak tertumpu kepada suatu kumpulan manusia tertentu dan bukannya golongan manusia yang lain.
Suatu golongan manusia di mana-mana pelusuk dunia tidak akan berkumpul sehingga salah satu dari golongan tersebut menerima prinsip yang penting ini serta bangkit untuk menegakkan prinsip kemasyarakatan ini. Mana-mana masyarakat sahaja di seluruh pelusuk bumi amat berhajatkan kepada persamaan-persamaan yang umum ini serta keadaan yang tidak mungkin ditegakkan oleh individu-individu dengan pendekatan individualistik di dalam sesebuah masyarakat.
Pandangan Islam Terhadap Al-Wilayah Dan Pemerintahan
Islam merupakan al-Din fitrah yang tidak pernah menyimpang daripada garis syari'at tersebut sama ada ditinjau dari sistem dan program-programnya. Perlu ditegaskan dengan terang dan jelas iaitu dengan gambaran yang mengukuhkan tentang kedudukan fitrah kemanusiaan. Al-Wilayah sebagaimana yang kita sebutkan tadi dilihat dalam konteks fitrah tidak pernah berubah di sisi manusia lebih-lebih lagi persekitaran pemikirannya. Berdasarkan kepada pengertian ini, Allah SWT telah mengisyaratkan di dalam firmanNya yang bermaksud:
" Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada Al-Din yang suci; (Tetaplah di atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. Al-Din yang lurus tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." [Al-Rum:30]

Penjelasan Ayat Yang Mulia
Alam yang kita hidup di dalamnya terdiri daripada bahagian-bahagian yang banyak termasuk jenis yang kecil dan besar. Daripada atom yang terkecil hinggalah kepada himpunan bintang-bintang yang besar yang beredar pada garisannya tanpa perhentiannya dengan pergerakan yang cepat serta menimbulkan suasana yang sungguh mengkagumkan.
Perjalanan alam ini dengan segala coraknya dikendalikan oleh sistem alam yang sungguh mengkagumkan serta amat mendalam. Sistem ini telah mengaitkan seluruh bahagian alam ini setengahnya dengan yang lain ditinjau dari segi kesan dan tindakbalas masing-masing. Oleh yang demikian itu setiap gejala alam dan makhluk akan menghasilkan tindakbalas sebagai makhluk yang hidup yang terhasil di antara bahagian-bahagian alam ini sendiri tanpa salah satunya berlawanan dengan bahagian yang lain sama ada dari segi kesan dan tindakbalas-tindakbalas itu.
Manusia juga merupakan salah satu gejala alam di kalangan seluruh gejala-gejala alam yang lain itu. Ia terpengaruh dan mempengaruhi terhadap alam ini sama ada dengan tindakbalas dan pergerakannya. Sebagaimana juga ia diumpamakan dengan setitis air yang menitis di atas permukaan air akan menghasilkan pusaran kekuatan di tengah-tengah air yang banyak itu.
Alam ini tidak menetapkan terhadap penciptaan alam yang satu sahaja kerana ia sentiasa berjalan secara sambung menyambung dan berterusan dengan melalui proses perkembangan dan menuju kesempurnaan. Gejala-gejala alam menuju kesempurnaan sepanjang perkembangan alam ini dengan gambaran yang berterusan serta dengan nisbahnya yang tetap.
Untuk tujuan ini Allah SWT telah menciptakan bagi setiap makhluk mempunyai tabi'i serta keupayaan yang tersendiri, yang membantunya untuk mencapai kesempurnaannya yang khusus dan matlamatnya yang tabi'i. Di dalam dua ayat yang berikut ini para pembaca akan mendapat penjelasan yang terang berhubung dengan pandangan ini (firman Allah SWT yang bermaksud):
"(Tuhan) yang telah memberikan kepada tiap-tiap sesuatu bentuk kejadiannya, kemudiannya memberinya pertunjuk." [Surah Thaha:50]
"Yang menciptakan, dan menyempurnakan ciptaanNya. Dan yang menentukan kadar masing-masing dan memberi petunjuk." [Surah al-A'la: 2-3]
Daripada sini telah menjelaskan kepada kita bahawa manusia mempunyai tabi'i peraturan alamnya yang tersendiri serta mempunyai realiti khusus yang berkaitan dengan alam ini. Kesempurnaan manusia yang khusus itu harus lahir daripada alam ini serta menghasilkan pemikirannya yang tersendiri pula. Dalam pada itu manusia dari sudut tabi'inya mencapai pancaran pemikirannya yang khusus serta kesempurnaan kemanusiaannya melalui jalan kesedaran dan IradahNya. Perkara ini tidak dapat tidak berlaku kepada ummat manusia yang bernisbahkan kepada petunjuk penciptaan Allah SWT di dalam pengetahuan manusia dan pemikiran mereka.
Firman Allah yang bermaksud:
"Dan jiwa serta penyempurnaannya, maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasiqan dan ketaqwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya." [Surah Asy-Syams:7-10]
Kesemua perkara itu menjelaskan kepada kita bahawa manusia itu sering bertambah melalui jalan hidayah takwiniyyah dan fitrah alam ini dengan melahirkan kesedaran, kehendak dan fikiran. Melalui jalan kesedaran, kehendak, dan pemikiran inilah yang membolehkan manusia mensebatikan dirinya dengan peraturan alam ini serta mencegah segala bentuk kehancuran yang dihasilkan di antara alam dan manusia dari satu aspek ke aspek yang lain. Di samping itu melalui jalan penyebatian alam ini manusia berkeupayaan untuk mencapai kesempurnaan ciptaan yang tersendiri. Selanjutnya manusia itu dibimbing menuju keistimewaannya. Disinilah Allah SWT mengisyaratkan dengan firmanNya tadi di dalam surah al-Rum ayat 30 yang bermaksud, maka hadapkanlah wajahmu kepada al-Deen Allah yang suci murni di atas fitrah Allah yang dijadikan ke atas manusia, tidak ada perubahan di dalam penciptaan Allah SWT. Demikianlah al-Deen Allah SWT lurus dan teguh itu.
Ayat yang mulia itu mengisyaratkan kepada penghalaan berikut:
1. Bahawa kehidupan dan kebahagiaan manusia saling berkaitan dengan ikatan yan gpadu dengan undang-undang alam dan yang dipancarkan dari zat alam itu sendiri. Kelancaran hidup kemasyarakatan manusia tidak akan mewujudkan kebaikan dengan peraturan yang berlawanan dengan undang-undang alam ini.
2. Sebenarnya sistem atau peraturan yang telah ditetapkan di atas alam ini dengan keteguhan sdan ketetapannya itu hendaklah dipatuhi oleh manusia di dalam kehidupan kemasyarakatannya. Sistem kemasyarakatan ini yang tetap dipancarkan dari asal usulnya yakni undang-undang alam ini yang memeliharanya daripada penyelewengan serta menyenangkannya di dalam lapangan kegiatan dan tindakbalas individu dan kemasyarakatan. Di samping itu terdapat golongan yang menyeleweng dengan mengikut runtunan hawa nafsu dan syahwat semata-mata sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
" Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmuNya." [Surah Al-Jathiah:23]

"Maka tidak ada sesudah kebenaran itu, melainkan kesesatan." [Surah Yunus:32]
Apabila manusia menyimpang daripada garis undang-undang alam di dalam kehidupan kemasyarakatannya serta memusnahkan sistem tabi'i dan fitrah nescaya ia akan terjerumus ke lembah hawa nafsu dan runtunannya. Oleh yang demikian semestinya ia dikuasai oleh sistem ciptaan Allah SWT serta menangangi perjalanan hidupnya pada masa ini dan akan datang. Dan tidak dapat tidak baginya merujuk kepada sistem ciptaan Allah SWT dan fitrah untuk menggerakkan perjalanan hidupnya selepas ia berusaha untuk menguasai tabi'i dan fitrah itu.
Adapun usahanya untuk melancarkan perjalanan hidupnya dengan undang-undang alam itu, kesemuanya membebankan manusia dengan bebanan yang besar, sehingga ia akan merasakan makanan kehidupan ini sungguh pahit dan menempuh kesulitan. Merujuk kepada pengertian ini adalah yang dimaksudkan oleh ayat-ayat al-Qur'an yang mulia tadi iaitu ayat yang dibacakan dari surah al-Rum itu. Oleh yang demikian seluruhnya, kita mendapati bahawa Islam menyandarkan juga kepada fitrah penciptaan manusia itu sendiri dalam menjadikan asas syari'at dan sistemnya. Islam menganggap penyelewengan dari fitrah merupakan suatu kesesatan dan kecacatan yang besar.
Setengah daripada masalah fitrah yang dititikberatkan oleh Islam ialah masalah wilayah dan pemerintahan. Tidak ada seorang pun di kalangan ummat Islam di awal kelahiran Islam menimbulkan persoalan mengenai asal usul masalah pemerintahan dan al-wilayah. Dengan kebangkitan Nabi Muhammad SAWA maka terlaksanalah pemerintahan dan pentadbiran sama ada dilihat dari sudut mempertahankan negara Islam, keamanan dan pemerintahan. Di samping itu ummat Islam turut diuji secara biasa di dalam masalah atau hal ehwal pemerintahan dan al-wilayah. Itu semua menunjukkan pendalilan masalah itu sendiri dan ummat Islam berada dalama keadaan tenang secara fitrah.
Mereka mengajukan soalan kepada Nabi SAWA tentang masalah-masalah yang tidak sampai kepada batasan ini kepentingannya seperti masalah hadith, kekeluargaan dan membelanjakan harta, mereka tidak mengajukan soalan mengenai pemerintahan dan al-wilayah. Bukti yang paling nyata wujudnya masalah al-wilayah penguasaan dan pemerintahan di dalam kehidupan kemasyarakatan menurut pandangan Islam ialah apabila ummat Islam berada atau berkumpul pada hari yang bersejarah di Saqifah Bani Sai'dah selepas wafatnya Rasulullah SAWA. Lantas dengan itu lahirlah perbezaan faham di antara mereka mengenai masalah pengganti atau khalifah Nabi SAWA di kalangan mereka, sehingga kata salah seorang daripada mereka:
"(Bagi kami seorang Amir manakala bagi kamu semua seorang Amir)."
Lalu dipilih memegang jawatan pemerintahan itu di kalangan golongan Ansar dan tiga orang di kalangan Muhajirin (yang hadir di Saqifah tersebut). Keadaan seperti itu nampaknya tidak membahayakan ummat Islam iaitu dalam suasana atau iklim perbezaan pemikiran politik untuk mengenepikan kepentingan pemerintahan dan pentabiran. Kuasa politik dan kekuasaan melaksanakan itu tidak memberi erti apa-apa kepada manusia.

Bukti Lain Terhadap Masalah al-Wilayah
Firman Allah SWT yang bermaksud:
" Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul, sesungguhnya telah berlalu sebelumnya beberapa orang Rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berpaling ke belakang (murtad)? Barang siapa yang berpaling ke belakang maka ia tidak dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun; dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur." [Surah Ali 'Imran: 144]
Adalah tidak boleh disangkal lagi bahawa ayat yang mulia ini diturunkan pada masa meletusnya peperangan Uhud iaitu ketika tersebarnya berita di kalangan ummat Islam di medan perang itu selepas ummat Islam menerima pukulan yang hebat dari tentera musuh di dalam peperangan ini - bahawa Nabi SAWA telah mati syahid. Dengan tersebarnya berita ini terdapat di kalangan ummat Islam yang bersiap sedia untuk melarikan diri dari medan pertempuran. Mereka menghadapi orang-orang musyikirin yang memerangi mereka itu dengan ketiadaan semangat jihad dan penentangan yang sejati di medan peperangan selepas mendengar berita kewafatan Nabi SAWA.
Ayat al-Qur'an itu telah menolak penyebaran berita satu golongan di kalangan ummat Islam yang membesarkan suasana yang tidak baik ini, dan yang lahir di kalangan mereka di medan peperangan di hadapan barisan tentera musuh. Oleh itu Nabi Muhammad SAWA itu tidak lain sebagaimana yang dikatakan oleh al-Qur'an hanyalah seorang Rasul yang sebelumnya telah berlalu beberapa orang rasul daripada Allah SWT untuk menyampaikan syari'at-syari'at daripada langit kepada makhluk di planet bumi ini. Bukanlah agama ini merupakan agama Muhammad SAWA. Isi kandungan risalah ini tidak akan terhenti dengan berakhirnya kehidupan Nabi Muhammad SAWA daripada kehidupan ini. Maka adakah salah atau betul untuk tidak mengambil berat terhadap al-Deen ini serta meninggalkan tugas jihad serentak dengan kewafatan Nabi SAWA? Dan adakah ini merupakan suatu revolusi atau kembali semula ke zaman jahiliyyah untuk kali yang keduanya selepas menerima ajaran Islam di dalam kehidupan ini seluruhnya?
Adalah jelas bahawa ummat Islam tidak kembali semula kepada jahiliyyah atau kembali semula menyembah berhala selepas lahirnya kekucar-kaciran dalam barisan tentera ummat Islam dalam peperangan Uhud itu. Malah mereka tidak pernah bercita-cita untuk meninggalkan solat dan puasa yang merupakan pokok kepada segala ibadah dalam Islam itu. Adapun mereka tidak bersedia untuk meninggalkan tanggungjawab jihad pada jalan Allah dan tidak mahu berundur dari medan peperangan serta mereka mengambil perhatian besar terhadap persoalan ini yang merupakan aspek kemasyarakatan di dalam al-Deen yang memerlukan kepada kepimpinan, penyusunan, kekuasaan, dan wilayah kekuasaan.
Perkara pokok di dalam ayat tersebut menekankan titik persoalan yang penting dalam gambaran yang khusus. Ayat yang mulia ini juga dikemukakan tanpa ianya berlaku dari segi kenyataannya. Ini adalah memandangkn aspek kemasyarakatan yang dibina oleh Nabi SAWA di atas muka bumi ini tidak pernah bergoncang selepas kewafatannya sekalipun dan tidak berubah kedudukannya kepada keadaan yang lain. Malah menjadi kewajipan kepada ummat Islam untuk mengekalkan kedudukan pemerintahan Islam selepas wafat Nabi SAWA. Amalan dan kegiatan untuk mengekalkan dan meneruskan keunggulan Islam di dalam pemerintahan dan pentadbiran ini sentiasa terpelihara walaupun berlakunya perselisihan di kalangan ummat.
Berdasarkan kenyataan tersebut jelaslah kepada kita bahawa ayat yang mulia tadi menganggap betapa terpeliharanya hal ehwal pemerintahan dan pentadbiran di dalam masyarakat Islam. Kemudian ianya menjadi garis politik yang unggul serta pentadbiran yang khusus,yang dikira juga mengenai program-program Islam berhubung dengan hal ehwal syari'ah yang wajib ditegakkanya dan dihramkan kita mengabaikan tanggungjawabnya.

Seandainya kita ingin membahaskan tentang intisari keunggulan pemerintahan dan wilayah di dalam Islam kita akan mendapati bahawa ketetapan-ketetapan yang memperkukuhkan dan meninggikan kekuatan pemerintahan dan penguasa Islam itu terbahagi kepada dua bahagian:
Di sana terdapat ketetapan syari'at yang bersifat tetap yang tidak pernah menerima perubahan dan perselisihan, juga ianya tidak mungkin menerima kesan dengan perubahan persekitaran dan keadaan sekelilingnya dalam mana-mana bentuk sekalipun. Di sana juga terdapat suatu corak yang lain daripada ketetapan-ketetapan kemasyarakatan yang berjalan ke arah kesempurnaan dan ketinggian dalam konteks wilayah kekuasaan menyeluruh, yang berbeza dengan perbezaan tempat serta dipengaruhi oleh perbezaan persekitaran dan masa.
Untuk menjelaskan perkara ini kita akan dapat melihat gejala-gejala sosial di mana kita hidup di dalam kehidupan kita yang khusus: Umpamanya kita berada di dalam lingkungan keluarga yang kecil. Dengan itu kehidupan kita dikelilingi hal-hal dalaman kekeluargaan di dalam batas-batas ketetapan daerah dalaman. Oleh yang demikian anggota keluarga tersebut bangun melaksanakan soal-soal rumahtangga, manakala anggota yang lain melaksanakan tugas yang lain dalam hal-hal kekeluargaan. Usaha atau ikhtiar setiap seorang daripada mereka hanyalah terbatas untuk kepentingan kekeluargaan dengan mengambil kira hal ehwal rumahtangga. Dalam waktu yang sama seseorang peribadi dalam setiap usaha yang lebih luas dalam bidang kekuasaan dan pentadbiran tidak akan terkeluar segala perancangannya dari daerah ketetapan negara yang menyeluruh, atau membincangkan sistem umum dalam apa bentuk sekalipun.
Berdasarkan kenyataan tersebut jelaslah bahawa ketetapan-ketetapan yang terpelihara dalam lingkungan kekeluargaan ini terbahagi kepada dua jenis; iaitu jenis yang cenderung kepada bersifat tetap dan kekal. Dan jenis yang menerima perubahan dan pertukaran berasaskan kepada kepentingan rumah tangga.
Bernisbahkan itu juga tertegaknya syari'at Islam yang memiliki sifat tetap dan kekal dalam hal ehwal kekuasaan dan wilayah kekuasaan yang mana berbeza berasaskan perbezaan tempat dan kepentingan kemasyarakatan, dan yang berligar di sekitar paksi syari'ah. Berdasarkan ini menjelaskan kepada kita suatu garisan yang menegaskan sekali lagi kepada para pembaca untuk mengeluarkan suatu rumusan tentang perbicaraan ini.
Sifat Tetap Dan Berubah-ubah Di dalam Islam
Telah jelas kepada kita berdasarkan pembicaraan yang lalu bahawa ketetapan sistem Islam terbahagi kepada duacorak:
1. Ketetapan yang bersifat tetapi yang terbit daripada sumber al-Qur'an dan Sunnah Rasulullah SAWA. Ketetapan ini tidak menerima perubahan dan pertukaran dan tidak mungkin dipengaruhi oleh perubahan persekitaran dan lingkungannya. Inilah merupakan garisan-garisan fikiran yang dilaksanakan oleh Nabi SAWA di atas muka bumi ini. Sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah SWT di dalam surah al-Rum: 30 yang lalu bahawa yang bermaksud:
" (Maka tetaplah) di atas fitrah Allah yang difitrahkan ke atas manusia ke atasnya, tidak ada perubahan di dalam penciptaan Allah itu, demikianlah al-Deen yang lurus."
Di dalam suatu ketetapan yang lain dapat ditegaskan; Penghalalan yang dibuat oleh Nabi Muhammad SAWA merupakan penghalalan hingga hari qiamat, manakalah pengharaman yang dibuat olehnya merupakan pengharaman hingga hari qiamat.
Adalah sungguh merbahaya bahawa perubahan ketamadunan yang begitu cepat berlaku di dalam masyarakat manusia mutakhir. Perubahan-perubahan tersebut yang mengubah struktur kehidupan masyarakat manusia semenjak manusia menempuh pintu-pintu sejarah yang luas, serta mencatatkan sejarah hidupnya tidak pernah mereka mengalami kebekuan dan ketetapan di dalam bidang undang-undang. Tidak mungkin corak ini menggerakkan peraturan yang didatangkan oleh Nabi SAWA untuk dilaksanakannya sebelum empat belas abad yang lalu, di dalam persekitaran yang berlalu terlalu awal dan jauh daripada iklim pemikiran dan kebudayaan yang luas.
Kelahiran pembicaraan ini tidak pernah meluas untuk dibincangkan pemikiran dan gagasan ini. Di sini saya suka menunjukkan dengan gambaran yang umum kepada mana-mana sistem ciptaan di atas muka bumi ini. Tidak dapat tidak iannya bergantung kepada asal usul penciptaan dan naluri manusia, seperti masalah kehidupan kemasyarakatan, kekuasaan, kerajaan dan pertahanan. Iaitu apa yang berhubung dengan masalah- masalah perundangan dan kemasyarakatan.
tidak mungkin perumpamaan masalah ini terpengaruh dengan perubahan kedudukan kemasyarakatan serta keadaan dan persekitaran. Adapun segala bentuk perubahan sosial berdasarkan kepada kekuatan putaran peradaban di dalam masyarakat. Menurut pandangan Islam syari'at di anggap sebagai himpunan sistem-sistem, undang-undang serta peraturan yang bergantung kepada keperluan-keperluan utama dan penciptaan yang terdapat pada manusia.
2. Ketetapan-ketetapan yang lain yang melahirkan keunggulan kekuasaan dan al-wilayah di dalam masyarakat Islam dan terpengaruh dengan persekitaran, lingkungan, tempat, dan kepentingan masyarakat. Ianya berligar pada waktu yang sama di sekitar peredaran syar'iat tanpa menjejaskan keadaan.

 Apa yang wajib ditunjukkan di sini ialah berhubung dengan titik perbahasan ini: Sebenarnya pemerintahan Islam dalam hal ini hampir-hampir menyerupai demokrasi moden jika dilihat dari sudut ketetapan kedua ini.
Oleh itu demokrasi moden memiliki dua corak di dalam undang-undang: Peraturan yang tetap yang tidak menerima perubahan dan pertukaran iaitu (Perlembagaan yang berterusan) atau (Undang-undang perlembagaan). Keadaan ini tidak dimiliki oleh mana-mana aspek di dalam pemerintahan sehingga kepada majlis ummah dan pimpinan. Berlakunya mana-mana perubahan di dalam kandungan perlembagaan ini setelah dipersetujui oleh majoriti orang ramai dengan seluruh aspeknya.
Peraturan yang kedua ialah peraturan yang tunduk kepada perubahan dan pertukaran dengan gabungan suara majoriti di dalam majlis ummah dan pimpinan atau lembaga kabinet menteri atau selain daripada itu yakni golongan yang mempunyai wibawa politik di dalam sesebuah negara.
Apa yang penting bagi golongan ini yang mewujudkan peraturan tidak mempunyai batasan pentafsiran undang-undang perlembagaan. Berlakunya perubahan di dalam lingkungan undang-undang perlembagaan ini tanpa mempunyai asas yang kukuh.
Dengan yang demikian wajib bagi kita untuk menghuraikan pandangan mengenai pemerintahan dan perundangan di dalam Islam yang membezakan daripada teori-teori demokrasi da sosialisme moden serta tidak mencampuradukkan di antara kedua-duanya sebagaimana yang dilakukan oleh para penulis dan pengkaji Islam dan bukan Islam yang tertentu.
Daripada aspek (bahagian yang tetap di dalam undang-undang) Islam memandangkan bahawa Allah SWT adalah Satu-satunya yang menentukan kedudukan syari'at yang menjadi asas-asas pemerintahan, tidak ada hal seorang pun yang lain yang berhak campurtangan dalam hal ehwal menggubal syari'at, di dalam bahagian ini daripada sistem Islam, walaupun Nabi SAWA sendiri sekalipun.
Daripada aspek kedua iaitu (bahagian yang tunduk kepada perubahan yang mana sistem tunduk kepadanya). Sebagaimana yang terdapat di dalam sistem-sistem demokrasi dan sosialisme moden, yakni berhubung dengan konsep majoriti. Apa yang dimaksudkan dengan majoriti atau yang mengatasi adalah satu perdua dengan ditambah satu yang mengatasi minoriti iaitu satu perdua kurang satu. Tunduk kepada pandangan majoriti di dalam aspek menentukan keputusan sehingga sampai ke tahap hak untuk bersuara di antara majoriti dan minoriti.
Menurut pandangan politik Islam adalah berbeza dengan apa yang dibawa terdahulu itu oleh sistem demokrasi dan sosialisme moden. Pertimbangan di dalam meletakkan undang-undang atau mengubahnya atau mengadakannya atau menukar isi kandungannya serta bentuknya berdasarkan suara majoriti tidak diterima oleh Islam. Sebaliknya Islam bukan sekadar melaksanakan syura atau permesyuaratan di dalam persoalan pemerintahan dan pentadbiran malah lebih jauh daripada itu ialah Islam menekankan kepada mengikuti kebenaran iaitu membataskan kebenaran dengan kebatilan, di dalam bahagian yang berubah daripada sistem, bukannya menyenangkan manusia pada tempat-tempat yang berbeza di dalam pemerintahan Islam. Setiap penghalaan sentiasa merujuk kepada seruan kebenaran dengan melaksanakan pemerintahan demi kepentingan kemasyarakatan. Manakala kewujudan bahagian yang tetap di dalam sistem Islam yang tidak menerima perubahan dalam keadaan bagaimana sekalipun. Di sini kita bataskan lapangan perbezaan dan pertukaran di dalam bahagian lain daripada sistem. Dengan membataskan bahagian yang tetap daripada sistem, sudah tentu kita tidak berhajat lagi kepada konsep majoriti untuk mengenalpastikan pandangan yang diterima untuk dilaksanakan. Lantaran ini merupakan apa yang terjadi di negara-negara demokrasi.

Apabila kita ingin menegakkan pemerintahan Islam di atas asas perlembagaan Islam di dalam pemerintahan dan pentadbiran, tidak mungkin tatap-tahap kebudayaan dan pendidikan dalam negeri terkeluar daripada keputusan anggota majlis syura atau "ahl al-hal wal-aqd" daripada batas-batas perlembagaan dan sistem Islam, atau terkeluar daripada batas-batas perlembagaan, Al-Qur'an, Sunnah Rasulullah SAWA dan akal fikiran. Selepas memenuhi syarat-syarat ijtihad dan pemerintahan kerajaan yang berkuasa pada zaman ghaibiyyah merujuk kepada pandangan majoriti yang memegang tugas pemerintahan yang lahir daripada majlis syura Islam. Selain daripada itu tidak mungkin menegakkan pemerintahan Islam dan tidak mungkin untuk meneguhkan sistem sosial untuk memperelokkan perkembangan dan menangani kemajuan tamadun.
Tidak mungkin dianggap titik tolak ini merupakan dasar yang membezakan diantara Islam dan demokrasi. Ayat yang mulia tadi menunjukkan kepada anggapan kebenaran itu dan kepentingan kemasyarakatan dengan neraca pandangan akal bukannya berasaskan kepada suara terbanyak. Juga bukan disyaratkan kepada sesuatu yang lain daripada bahagian yang tetap di dalam sistem yang wujud di dalam negara Islam. Dan kita membataskan kebebasan berfikir dan berbeza di dalam bahagian yang lain daripada sistem di dalam lingkungannya.
Apa yang mungkin kita menganggap titik yang membezakan di antara Islam dan demokrasi atau aliran politik yang lain ialah perbezaan di dalam isi kandungan perlembagaan dan bahagian yang tetap di dalam sistem, serta perbezaan di dalam membataskan kebenaran dan kepentingan kemasyarakatan. Perbezaan ini bersandarkan kepada isi kandungan sistem dan perlembagaan sebelum disandarkan atau tanpa disandarkan ke atas bentuk pemerintahan dan lahiriahnya.
Sebagaimana tidak tunduknya bahagian ini daripada sistem menurut pandangan politik Islam kepada hawa nafsu dan runtunan keinginan semata-mata malah menjauhi semua gejala negatif itu. Bahagian yang tetap ini hanya tunduk kepada memenuhi kepentingan kemasyarakatan semata-mata. Namun demikian yang menjelaskan lagi ialah perbezaan teori yang paling nyata ini diantara pandangan Islam dengan pandangan demokrasi moden ialah bahawa suara majoriti di dalam masyarakat Islam yang dibina oleh faham taqwa dan keutamaan tidak dapat dihitung tentang batasan-batasan kebenaran dan perbaikan sosial.
Al-Qur'an al-Karim sering menghalakan kepada ummat Islam supaya mengikuti kebenaran dan menjaga kebaikan masyarakat manusia dengan tidak mengambil kira terhadap suara dan kehendak golongan terbanyak sebagai ukuran yang boleh diterima. Firman Allah SWT yang bermaksud:
" Maka tidak ada sesudah kebenaran itu, melainkan kesesatan." [Surah Yunus: 32]
Dalam surah Yunus:32, Allah SWT berfirman yang bermaksud:
" Maka apakah orang-orang yang menunjuki kebenaran itu lebih berhak diikuti ataukah orang yang tidak dapat memberi petunjuk kecuali (bila) diberi petunjuk?"
Ayat 9 Surah Ash-Shaff, bermaksud:
" Sesungguhnya kami benar-benar telah membawa kebenaran kepada kamu tetapi kebanyakan di antara kamu benci pada kebenaran itu."
Ayat yang lain dalam Surah Al-Ashr: 2-3, bermaksud:
" Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman, dan beramal dengan amalan soleh dan nasihat menasihat supaya mentaati kebenaran."
Sesungguhnya pandangan dengan bentuk ini telah menjadi dasar dahulu dan hari ini oleh setengah pakar undang-undang. Mereka mengambil pandangan ini memandangkan ia tidak menegah pandangan majoriti daripada manusia umum. Peraturan yang bergantung kepada pandangan majoriti ummat manusia tidak akan membawa kebaikan untuk kekekalan masa depan dan tidak mendatangkan kedamaian kepada ummat sendiri.


Oleh yang demikian, sesungguhnya pandangan kami bahawa sistem Islam tidak dilaksanakan dalam bentuk umum di dalam berbagai aspek syari'at melainkan berdasarkan kepada bukti yang ringkas daripada setengah masa.
Sistem demokrasi ketika mana kewujudannya itu berasaskan kepada pandangan dan pemikiran manusia untuk mengekalkan kestabilan dan untuk menghadapi peradaban dan perkembangan baru.
Adapun Islam pada hari terlaksananya sejak empat belas abad yang lalu ketika mana manusia hidup pada zaman awalnya sesuai dan baik untuk dilaksanakan pada bial-bila masa malah ianya sesuai dan mengangkat kedudukan manusia pada masa itu sehingga ke tahap manusia yang tertinggi, akan tetapi selepas itu akibat dari terpisahnya ianya daripada pandangan umum dan daripada pemikiran ummat manusia telah menyebabkan perkembangan syariat menjadi beku dan tidak diambil untuk menangani perkembangan dan peradaban terbaru.
Untuk menjawab segala dilema dan kenyataan ini harus bagi kita mengenalpastikan perkara-perkara berikut:
Pertama - Sesungguhnya pandangan majoriti di dalam pemerintahan dan sistem adalah hampir-hampir diterima dan dilaksanakan di dalam kehidupan sosial. Sehingga pandangan majoriti sering mengikuti corak kebudayaan, pemikiran, dan pendidikan yang diwujudkan oleh suara terbanyak itu.
Pada masa kini selepas kemajuan dicapai dalam lapangan ilmu-ilmu sosial dan psikologi, tidak lagi didapati para pengkaji menghabiskan tenaga yang banyak untuk mewujudkan pengaruh pendidikan, kebudayaan dan norma-norma sosial di dalam pembentukan pandangan umum orang ramai. Di dalam masyarakat Islam kayu ukur penting bagi menilai manusia adalah dasar keutamaan dan taqwa. Tidak mungkian pandangan umum menyimpang daripada kebenaran sebagaimana tidak mungkin menyimpang dengan mengikut runtunan hawa nafsu dan keinginan yang tidak disyariatkan oleh Islam. Perkara yang khusus dan istimewa ini tidak tertentu hanya kepada masyarakat Islam malah di dalam mana-mana masyakarat yang lain, yang lalu atau yang akan datang, tidak mungkin dapat dibentuk pandangan umum tanpa dipengaruhi oleh pendidikan akhlaq atau nilai-nilau kebudayaan yang umum di dalam masyarakat.
Oleh itu pandangan umum walaupun di dalam masyarakat Islam tidak mungkin berlawanan dengan kebenaran, kebaikan dan kepentingan masyarakat.
Kedua - Sebenarnya pemerintahan Islam dalam bentuknya yang benar, dan sahih yang dibawa oleh pembawa risalah Rasulullah SAWA tidak terlaksana secara berterusan di sepanjang sejarah Islam. Dasar-dasar Islam di dalam hal pemerintahan dan pentadbiran hanya terlaksana dalam period yang paling singkat selepas kewafatan Rasulullah SAWA, dan mengambil tempat di dalam pemerintahan yang menunjukkan keagungan dan keunggulan pemerintahan Islam itu.
Adalah benar kalau kita menyimpulkan bahawa corak ini telah melalui proses perubahan dan pertukaran politik yang dinamakan kematian atau perhentian segala proses pemerintahan Islam yang sejati. Sebagai perbandingan bahawa pemerintahan Islam dalam bentuknya yang asli yang dirakamkan oleh al-Qur'an yang mulia dan sunnah serta sirah Rasulullah serta perjalanan hidup anggota keluarganya (Ahlul Bayt AS) amat berbeza dengan pemerintahan-pemerintahan yang lahir di sepanjang sejarah Islam yang sebenarnya memerintah atas nama Islam. Jelaslah kepada kita bahawa sejarah Islam hanya dalam jangka masa yang singkat manakala yang lain dari waktu itu tidak boleh dianggap sebagai bercorak Islam yang tulen di dalam banyak langkah-langkah yang diambil oleh ummah.
Selepas kita melakukan pemerhatian terhadap perkara ini adalah tidak wajar kita mengatakan bahawa Islam telah ditimpa oleh kemalangan di dalam lapangan kehidupan sosial. Apabila Islam tidak dilaksanakan pada suatu waktu sehingga ia ditimpa oleh kecelakaan di dalam perlaksanaan kehidupan, adalah tidak sah untuk kita bebankan kepada Islam segala kesalahan yang dilakukan oleh ummat Islam di sepanjang lembaran sejarah. Tidak boleh ditumpukan perkara ini terhadap Islam. Sesungguhnya telah berlalu di sisi kita lebih daripada setengah abad lamanya iaitu kita berpindah daripada peranan pemerintahan Islam kepada pemerintahan demokrasi. Dan apabila kita menggunakan nama ini yang mana manusia mengalami penderitaan dengannya. (Demokrasi) tidak pernah membawa kepada kita dengan sesuatu yang baru di dalam kehidupan kita. Sosial kita lebih panjang daripada period ini.
Maka apakah boleh kita menganggap bahawa demokrasi bertanggungjawab membawa kehidupan sosial kita pada masa kini? Dan apabila tidak sah kita menisbahkan kepada demokrasi maka mengapakah tidak wajar kita menjawab dengan yang demikian itu berhubungan dengan Islam dan dengan sejarah Islam.
Ketiga - Apabila kita menganggap bahawa Islam berlawanan daripada perjalanan peradaban kemanusiaan dan kita menganggap bahawa demokrasi merupakan peringkat kesempurnaan untuk meningkatkan perkembangan pemerintahan maka tidak dapat tidak perbahasan ini hanya berjalan di atas topik demokrasi itu sendiri.
Sesungguhnya manusia telah menerima selepas mencapai kemerdekaan di peringkat awal dengan gambaran yang mendatang di atas dasar-dasar komunisme. Mereka mengambil ideologi demokrasi sebagai strategi politik sebagai salah satu ideologi selain daripada ideologi lain. Maka apakah di anggap komunisme itu suatu peringkat kesempurnaan bagi sistem-sistem yang terdahulu daripadanya? Dan apakah demokrasi merupakan peringkat kesempurnaan pada batasannya sendiri atau tidak? Isu-isu itu memerlukan jawapan yang merupakan perbahasan yang terlalu luas. Tidak mencukupi untuk dibahaskan di sini. Akan tetapi kita mendorong para pembaca untuk melihat dimensi-dimensi penting di dalam perbahasan ini.
Sikap Diktator Secara Kolektif
Demokrasi tidak mengubah suatu apapun daripada tindakan-tindakan diktator atau kuku besi di dalam pemerintahan. Apabila kita meninjau terhadap setengah perubahan dari segi bentuk yang berlaku di dalam demokrasi dalam sudut pemerintahan. Sikap Diktator secara berterusan menjadi corak umum di dalam sistem pemerintahan demokrasi. Ia telah berubah daripada diktator secara perseorangan kepada diktator secara kelompok pula.
Suatu pandangan terhadap tindakan-tindakan penjajahan modern yang dilakukan oleh negara-negara demokrasi yang kuat terhadap negara-negara yang lemah sudah memadai untuk membuktikan perkara ini. Ketika mana kita membezakan pencerobohan tentera dan penggunaan senjata modern dengan perjanjian pemerintah diktator. Adapun pencerobohan tentera dan penggunaan senjata pada masa lalu merupakan perbuatan tercela dan buruk sehingga pandangan umum manusia menganggap ummat manusia yang lemah sedang menentang bangsa manusia yang kuat. Pada masa kini pencerobohan ini diselubungi oleh berbagai propaganda dan strategi politik modern seperti jaminan keselamatan kemuliaan, tanggungjawab keamanan dan penjajahan dan apa yang berhubung dengan perkataan-perkataan lambang yang lain sebenarnya disebalik itu semua merupakan bentuk-bentuk kezaliman dan perhambaan sesama manusia.
Manusia hari ini terus hidup di dalam kesesatan dengan menggunakan perkataan keamanan dalam kehidupan demokrasi yang bertujuan untuk mempertahankan kejahatan negara-negara kuasa besar dan pemerintah-pemerintah yang kuat. Manusia hari ini sebenarnya telah menyaksikan penindasan dan perhambaan ini yang berlaku di Congo, Vietnam dan di utara Semenanjung Arab. Apa yang dilihat dalam bentuk kekejian yang lebih dashyat daripada apa yang diriwayatkan kepada kita oleh sejarahwan mengenai penaklukan Genghiz Khan dan Iskandar. Sehingga pada hari ini Perancis yang dikatakan sebagai pemelihara kebebasan ummat manusia itu masih berpegang bahawa Algeria merupakan sebahagian daripada Perancis!
Dengan gambaran umum kita dapati bahawa demokrasi modern membawa kepada pembahagian dunia pada hari ini kepada dua blok. Blok yang mengumpulkan negara-negara kuasa besar di dunia yang didapati haknya untuk menentukan perjalanan hidup manusia dan perjalanan planet bumi ini secara umum. Blok yang kedua mengumpulkan negara-negara kecil dan lemah serta bangsa-bangsa yang mundur hidup dibawah naungan kuasa-kuasa besara tadi serta meneruskan hubungan ini yang tidak bersifat kemanusiaan yang ditegakkan di antara kedua-dua blok itu sebenarnya serta melahirkan kefahaman politik dan gaya penjajahan. Maka adakah boleh kita menganggap corak ini daripada pemerintahan yang tidak bersifat kemanusiaan ini merupakan peringkat kesempurnaan di dalam pemerintahan dan politik?
Komunisme tidak berbeza dengan kebanyakan trend demokrasi. Apa yang berbeza mungkin perbezaan perjalanan dari segi aliran pertarungan kepentingan penjajahan dan tidak mungkin kita boleh menganggap dari suatu aspek yang lain sebagai peringkat kesempurnaan bagi sistem demokrasi.Sesungguhnya kita telah mendapati bahawa negara-negara mundur yang tidak pernah sampai kepada kehidupan demokrasi dan ketamadunan modern dengan sebab dekat atau jauh menganggap komunisme lebih baik dari ideologi-ideolgi yang lain. Di antara itu kita akan mendapati negara-negara kapitalisme demokrasi yang merupakan kuasa besar yang telah memotong jalan atau peringkat yang panjang daripada kehidupan kapitalisme demokrasi sentiasa mereka tidak dapat menjauhkan diri dari ideologi komunisme.
Maka adakah boleh dianggap peringkat pemerintahan komunisme merupakan suatu kemuncak daripada perjalanan sejarah manusia atau sesuatu yang lain? Daripada kenyataan ini kita mengetahui tidak pernah wujud logika dialektika kebendaan di sepanjang sejarah. Daripada golongan apa yang disebutkan itu jelaslah kepada kita bahawa golongan yang mempertahankan demokrasi barat serta membawanya berdampingan dengan Islam tidak pernah berkehendakkan kebebasan dan kemerdekaan yang diseru oleh Islam yang telah dihapuskan oleh mereka. Aliran ini merupakan penipuan dan pembohongan yang besar dan meluas di kalangan masyarakat barat. Oleh yang demikian kita dapati bahawa fahaman penipuan dan pendustaan ini tersebar dengan meluas di dalam masyarakat kita sebelum lahirnya fahaman yang lain dan sebelum kita membetulkan kesilapan kita yang besar di dalam kehidupan kita. Dan sebelum kita membetulkan kenyataan yang rosak yang wujud di dalam kehidupan kita di dalam berbagai aspek hidup kaita.
Gologan yang menganut dasar komunisme biasanya menjadi kelompok-kelompok yang diharamkan daripada masyarakat. Mereka menjadi susun lapis masyarakat yang diharamkan di dalam masyarakat serta membakar api pertentangan dengan kelompok-kelompok yang dibenarkan wujud di dalam masyarakat. Mereka menimbulkan beberapa isu di tengah-tengah masyarakat seperti kemiskinan, ketidakadilan dan seumpamanya iaitu isu-isu yang memerlukan kepada perubahan dan pembaikian.
Kami tidak ingin dan tidak mahu memanggil trend antara aliran ini merupakan sistem reformasi atau kenservatif. Perkembangan kehidupan sosial dan kemajuannya dinisbahkan kepada masyarakat yang terdahulu dan modern tidak dapat digambarkan tanpa pembaikian aspek kebendaan dan kerohanian di dalam kehidupan. Aliran ini tidak berhak dipanggil dengan istilah demikian kerana mereka tidak menegakkan kebenaran asli dan tidak pula untuk menjaga kepentingan kemanusiaan.
Di sisi kami hanyalah golongan manusia yang melakukan islah dan perbaikan dengan peranannya sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini sahaja yang berhak mewarisi kepimpinan dan kekuasaan di atas muka bumi ini, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
" Sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah diwariskanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya di kalangan hamba-hambaNya. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa."(Al-A'raf: 128)




Categories:

0 komentar:

Posting Komentar

Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!