Rabu, 13 Juni 2012




Membuat dan menilai karya seni adalah dua perkaitan yang memerlukan encouragement. Hubungan-hubungan langsung atau tidak di antaranya memberikan justifikasi kepada persoalan di sekitar karya. Pembuat karya memerlukan penilai dan begitu juga sebaliknya.
Namun, lanjutan dari kedua-dua gerak kerja terbabit telah berada di dua lingkaran yang
berbeza berdasarkan kepada tentangan wacana dan akroni. Ironinya, kedua-dua gerak karja adalah satu hakikat tetapi memiliki dua unsur yang sebetulnya saling melengkapi. Orang yang ahli (seni) sewajarnya menolak sebarang bentuk kitsch yang menonjolkan kemutlakan abadi melalui logosentrisme seni.
Melalui Pameran X'panded X'pressions, gerak kerja yang dinyatakan tadi telah berlaku. Secara peribadi, gerak kerja tersebut telah mewujudkan sebuah sinkretisme harmonis. Karya-karya yang dicipta di dalam atau di luar studio yang mengalami pembauran proses yang pelbagai dari sudut idea, pemikiran, fizikal dan emosi, kini dilepaskan ke khalayak.
Hampir semua unsur karya diyakini telah mengalami proses timbangtara yang bukan sedikit. Kajian-kajian pasti telah dilakukan dengan baik, begitu juga aspek teori yang telah dikunyah-hadam oleh setiap pengkarya terbabit. Ditambah dengan sokongan rujukan karya dan ilmu bantu yang berkaitan. Dan apabila karya siap, tanggungjawab pengkarya sebahagiannya telah berakhir.
Karua-karya yang terhasil dari kursus Seni Elektronik Lanjutan dan Media Lanjutan ini mencapai satu 'penanda' yang unik dalam konteks pembelajaran seni halus di Malaysia. Karya-karya ini telah merentas ruang pandangan dan pemikiran yang konvensional; mencabar ideologi lapuk modenisme, menggugat keutuhan estetika klasik dan menyoal kembali nilai seni yang dianggap mutlak. Kondisi ini pada hemat saya tidak bersifat heterogen, bahkan ia mengusulkan sebuah akulturasi. Jika wujud keadaan homogen, maka persoalan ini telah berpusat kepada 'tanggungjawab masyarakat kepada seni dan seniman'.
Secara akademik, kursus-kursus tadi telah kekal dari bingkai estetik yang lama dalam asas pembelajaran seni gaya Bahaus. Penghasilan karya seni yang di luar jangkaan seperti faktor X dan sebagainya telah digalakkan. Dalam konteks seni lukis moden moden Malaysia, keadaan ini tidaklah mengejutkan. Bermula dengan Pameran Towards A Mystical Reality oleh Redza Piyadasa dan Sulaiman Esa, kecenderungan untuk mencari alternatif estetik yang baru telah menjelma. Keadaan ini boleh disebut sebagai suatu avant-garde dalam situasi seni Malaysia melalui karya-karya hard-edge, conceptual, op-art dan minimal oleh Ruzaika Omar, Jolly Koh, Choong Kam Kow, Tang Tuck Kang, Tajuddin Ismail, Tan Teong Eng dan yang lain-lain. Lanjutannya lebih meradang dengan persembahan happening selama seminggu di kampus ITM, Jalan Othman Petaling Jaya oleh Redza Piyadasa dan Sulaiman Esa dengan sebuah jaring besar (pukat) diikat kuat di dalam kampus bagi membolehkan warga kampus memberi reaksi mereka (termasuk membuang bertan-tan sampah).
Reaksi dari Kumpulan Anak Alam juga turut kuat dengan pemuka seperti Abdul Ghaffar Ibrahim (AGI), Latiff Mohidin dan Siti Zainon. Kumpulan ini gemar bereksperimen dengan gabungan Seni Halus, Sastera dan Teater. Mereka pernah membuat persembahan, AGI membaca sajak 3Vnya sambil Latiff Mohidin membuat interpretasi melalui gaya lakonan dan tarian improvisasi (dengan kostum). Kesinambungan seterusnya dilakukan oleh kumpulan-kumpulan teater di sekitar Kuala Lumpur sehingga awal tahun 1990an. Begitu juga dengan penggunaan media elektronik yang telah dirintis oleh Kamaruzzaman Mohd. Isa sejak 17 tahun yang lalu.
Seperti yang telah dijelaskan sebelumnya, menghadapi karya-karya yang keluar dari kerangka modenidme (kebiasaannya yang bercirikan pascamoden) adalah suatu keluarbiasaan di sudut apresiasi. Keluarbiasaan ini timbul dari cabaran-cabaran dogma yang lama melekat.
Dalam beberapa hal, intipati modul kritikan dari pengkritik mapantelah saya gunakan di sini (termasuk dari bidang teater dan sastera). Namun kalau terjadi intentional fallacy (kekeliruan tujuan) ia mungkin terjadi di sana sini, namun saya cuba untuk memastikan ia tidak bersifat kosmetik atau retrogresif. 'Percubaan' harus dimulakan dan dibuat, bukan hanya 'artifak' yang disimpan dan dipuja-puja. Dalam pergelutan fikiran, pascamoden pun bermula.....
Umumnya kurang 20 karya telah dipamerkan dalam pelbagai kaedah dan corak persembahan. Dari gaya minimalis, seni pemasangan, seni persembahan, site specific installation, seni video dan juga yang menggunakan kaedah interaktif.
Iziady Isa (I, II, III) telah melakukan sebuah seni persembahan ala ketenteraan sebagai manifestasinya terhadap konflik kuasa dan perperangan; musibah dan bencana yang mungkin terjadi. Melalui Toffler dan berberapa teori perperangan, karya ini mula digagaskan. Interaksi oleh pelakon-pelakon yang menembak beliau adalah metafora yang ironis seolah-olah kita gembira dengan perperangan. Metonomi telah terjadi di sini. Selalunya kita menyebut sesuatu untuk merujuk kepada yang lain contohnya padang; merujuk kepada permainan. Asas struktulis ini kadangkala dapat menyediakan asas apresiasi. Sebuah 'tanda' - jaket perang, belon, bom asap dan pistol dapat menyediakan sebuah rangka rujuk urutan horizontal, contohnya skrit-blaus-jaket. Lanjutannya berasaskan parole (gabungan urutan). Kecualilah anda ada penyakit aphaesia, teori ini tidak boleh digunakan. Kita memerlukan konteks yang berorientasikan khalayak untuk melanjutkan metonomi bacaan. Iziady mahu bercerita tentang perperangan tetapi mengapa ada papan dat dan belon ? Inilah metonimimnya; hubungan dua konteks dalam satu rantaian apresiasi. Metonimi sebenarnya lebih kontras dariada metafora dan elemen-elemen yang bertindak membina kultus dan kefahaman khalayak.
Sejajar dengan karya Goe Tunggal, Modiana Koliew dan Nurlidiana, metonim menunjukkan bahawa 'konteks adalah segalanya'. Dalam filem, hubungan seks digambarkan dengan roket dan gelombang lautan atau hentakan batu untuk menamam konkrit bangunan. Karya Goe mempunyai kecenderungan Post-Struktulis yang melihat sesuatu itu sebagai anti-jagoan atau komik. 'Memecah' dalam konteks teori pascamoden selalu dirujuk kepada Derrida. Tiada siapa yang mutlak. Demua boleh dirombak.
Asas dekonstruksi Derrida adalah canggih sebenarnya. Beliau mempersoalkan asas falsafah metafizika barat yang bersifat 'struktur' dan 'pusat'. Dan hal ini jelas ditonjolkan oleh Goe. Dia kurang percaya lagi kepada suatu ideologi ketat (mutlak). Ideologi sering mengadakan sempadan ketat di antara apa yang diterima dan dan tidak, diri dan bukan diri, kebenaran dan kepalsuan, munasabah dan karut, taakul dan kegilaan, pusat dan pinggiran, zahir dan batin (T. Eangleton: 1983). Hal ini digemari oleh strukturalis demi memudahkan struktur kritikannya. Namun dekonstruksi tidak mempercayainya dan membiarkan sifat keadaan itu terpendam lalu dibongkar semuanya sekali dan menangkap sesesuatu yang mengganggu (dalam karya) secara paling nekad dan radikal sehingga menjadi paradoks paling ekstrem dalam karya.
Goe menyoal nuansa-nuansa masyarakatnya; Melanau, tentang patung-patung Dakan @ Belum yang boleh mengubati penyakit. Adakah ia berkesan Goe membuat dekonstruksi kerana dia percaya ia adalah karut dan perlu dimusnahkan.
Tindakannya drastik. Metaforanya botol-botol (ironisnya botol PEPSI) yang mengandungi tangkal azimat yang dilastik pada satu jarak sehingga pecah berderai. Persembahan itu meyakinkan Secara falsafahnya dia menyingkirkan metafizikal walaupun mungkin sedikit. Metafizik menuntut pusat dan struktur demi menjamin 'kehadiran sesuatu', lalu menyisihkan apa yang berada di luar pusat. Dalam hal Goe dan tentangan kaumnya; mesti buat ini dan janganbuat itu (struktur dan hierarki). Namun dia merombak secara radikal tanpa pertimbangan buruk baik, hitam putihnya. Dia menggunakan nilainya sendiri yang dahulunya mungkin disisihkan (dipantangkan) lalu nilai yang kecil ini dapat membongkar/merombak seluruh sistem yang wujud dan mempersendakannya pula dengan mengenal titik 'aporia' atau kebuntuan makna. Inilah asas pemikiran Derrida dan asas dekonstruksinya.
Tindakan yang sama juga berlaku pada persembahan Modiana dengan memecahkan instalsi belon-belon yang dilukiskan dengan motif pribumi. Situasi ini ini menegaskan kehilangan konsistensi dan membuakkan sikap kritis. Sikap kritis yang mendedahkan 'kontradiksi' dan keraguan-keraguan'. Keadaan ini dijelaskan oleh G. Hartiman - seorang ahli dekonstruksi Amerika (pengikut Derrida dan De Man). Dia melihat dekonstruksi derada dalam sen dan bukat alat kritikan.
Secara mudahnya karya-karya dalam pameran ini boleh dipecahkan kepada dua kecenderungan iaitu bersikap/bersifat strukturalis dan pascastrukturalis. Sikap strukturalis adalah struktur dalam bentuk kod yang wujud dalam idea dan dikaryakan. Keadaan ini menyerlahkan keluarbiasaan karya (secara bandingan dengan golongan formalis estetik). Intinya adalah keghairahan (ilmu) untuk menemukan kod, hukum dan sistem yang menjadi dasar semua tindakan sosial manusia (Raman Selden:1986). Arkeologi dan geologi sering dijadikan model usaha strukturalis.
Karya Ismail Taril dengan taktik formalis secara instalasi menemukan hal terbabit. Begitu juga karya Karim Redzuan dengan instalasi payung (mengingatkan saya pada Christro) yang setinggi lebih kurang 15 kaki dan selebar 10 kaki. Karya Tinggang dan Doreen adalah senada dalam aspek tindakbalas minda sebagai lanjutan minimal ke atas situasi budaya dan sosiol masyarakat. Sementara taktik Nurlydiana dan Lily berpotensi untuk digemakan lagi. Dari pembacaan teras budaya pascamoden, karya mereka memiliki 'penanda' yang kuat. Mereka menyirat ironi, deteritorialisasi, deferansi dan menyungguhkan piknolepsi. Begitu juga Zainal Isa dengan rombakan kolaj ikon-ikon P.Ramlee. Sistem-sistem kod gramatologi berkisar di sana sini. Namun, sejauh mana kesannya ke atas rombakan imej sukar dijangka.
Mazni pula bermetafora dengan alam sekitar dan menjadikan buah dan ulat sebagai subjeknya. Beliau juga romantis dengan karyanya. Apabila karya itu dipasangkan di atas padang pada waktu malam sambil dinyalakan lilin di dalam buah-buah tersebut, frekuensi romantis kadang kala sesuai untuk situasi 'tak terduga tenaganya' (hubungan alam dan manusia). Namun takat tepu dan faktor persekitaran kadangkala dapat meletakkan unsur emosi kena pada tempatnya. Seperti juga bernostalgia, apabila kenangan lama tumbuh sambil kita berada pada jarak masa yang relatif berbeza, ia menawarkan kawasan idea yang subur.
Mungkin hal ini yang mengganggu Ariffin dengan karya instalasi permainan kanak-kanak lama yang diperjelaskan denga grid dan ikon tanah. Ianya aalah strukturalis pekat. Dia ingin menguasai keadaan secara keras dan berstruktur. Dia juga mencabar idiom yang mengekang lingkungannya. Ada yang dituruti dan ada yang tidak-mengkut naluri semasa. Hal ini mungkin berteraskan faktor nilai yang relatifnya berbeza-beza. Soal adat dan pantang larang. Adakah akan terus dipertahankan ? Atau boleh diamalkan sambil lewa ? Adakah wajar dipertahankan ? Sampai bila ?
Yang merasa mungkin tidak sama dengan yang mengalami. Jika dibicarakan secara kejiwaan, mungkin itulah kesannya pada karya Hasrul. Karyanya melankolik dan digesa oleh rangupnya unsur semiotik yang distrukturkan. Seperti gaya seniman Fluxus; bersama sebuah kamera video, TV dan cawan-cawan plastik. Dia mungkin sedar tentang kehadiran realiti (ruang dan masa) dan suasana mistik. Namun, sejauh mana pula keras dan pejalnya idea itu dibentuk dapat dilihat pada potensi ruang persembahannya dan konsistensinya pada idea sendiri. Sebuah ruang yang rumit dan payah.
Dan safri pula berlegar pada asas pemikiran Barthes dan Kristera tentang nilai sosial, pengalaman dan budaya dalam kancah teks. Digomel, disendat, diselit dan dibina. Dari sebuah lanjutan garis dan lukisan. Menuju teks dan pemutusan. Sebuah Interteks.
 EKA SASTRA


Categories:

0 komentar:

Posting Komentar

Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!