Membuat dan
menilai karya seni adalah dua perkaitan yang memerlukan encouragement.
Hubungan-hubungan langsung atau tidak di antaranya memberikan justifikasi
kepada persoalan di sekitar karya. Pembuat karya memerlukan penilai dan begitu
juga sebaliknya.
Namun, lanjutan
dari kedua-dua gerak kerja terbabit telah berada di dua lingkaran yang
berbeza
berdasarkan kepada tentangan wacana dan akroni. Ironinya, kedua-dua gerak karja
adalah satu hakikat tetapi memiliki dua unsur yang sebetulnya saling
melengkapi. Orang yang ahli (seni) sewajarnya menolak sebarang bentuk kitsch
yang menonjolkan kemutlakan abadi melalui logosentrisme seni.
Melalui Pameran X'panded X'pressions, gerak kerja yang
dinyatakan tadi telah berlaku. Secara peribadi, gerak kerja tersebut telah
mewujudkan sebuah sinkretisme harmonis. Karya-karya yang dicipta di dalam atau
di luar studio yang mengalami pembauran proses yang pelbagai dari sudut idea,
pemikiran, fizikal dan emosi, kini dilepaskan ke khalayak.
Hampir semua unsur
karya diyakini telah mengalami proses timbangtara yang bukan sedikit.
Kajian-kajian pasti telah dilakukan dengan baik, begitu juga aspek teori yang
telah dikunyah-hadam oleh setiap pengkarya terbabit. Ditambah dengan sokongan
rujukan karya dan ilmu bantu yang berkaitan. Dan apabila karya siap,
tanggungjawab pengkarya sebahagiannya telah berakhir.
Karua-karya yang
terhasil dari kursus Seni Elektronik Lanjutan dan Media Lanjutan ini mencapai
satu 'penanda' yang unik dalam konteks pembelajaran seni halus di Malaysia.
Karya-karya ini telah merentas ruang pandangan dan pemikiran yang konvensional;
mencabar ideologi lapuk modenisme, menggugat keutuhan estetika klasik dan
menyoal kembali nilai seni yang dianggap mutlak. Kondisi ini pada hemat saya
tidak bersifat heterogen, bahkan ia mengusulkan sebuah akulturasi. Jika wujud
keadaan homogen, maka persoalan ini telah berpusat kepada 'tanggungjawab
masyarakat kepada seni dan seniman'.
Secara akademik,
kursus-kursus tadi telah kekal dari bingkai estetik yang lama dalam asas
pembelajaran seni gaya Bahaus. Penghasilan karya seni yang di luar jangkaan
seperti faktor X dan sebagainya telah digalakkan. Dalam konteks seni lukis
moden moden Malaysia, keadaan ini tidaklah mengejutkan. Bermula dengan Pameran Towards
A Mystical Reality oleh Redza Piyadasa dan Sulaiman Esa, kecenderungan
untuk mencari alternatif estetik yang baru telah menjelma. Keadaan ini boleh
disebut sebagai suatu avant-garde dalam situasi seni Malaysia melalui
karya-karya hard-edge, conceptual, op-art dan minimal oleh Ruzaika Omar,
Jolly Koh, Choong Kam Kow, Tang Tuck Kang, Tajuddin Ismail, Tan Teong Eng dan
yang lain-lain. Lanjutannya lebih meradang dengan persembahan happening
selama seminggu di kampus ITM, Jalan Othman Petaling Jaya oleh Redza Piyadasa
dan Sulaiman Esa dengan sebuah jaring besar (pukat) diikat kuat di dalam kampus
bagi membolehkan warga kampus memberi reaksi mereka (termasuk membuang
bertan-tan sampah).
Reaksi dari
Kumpulan Anak Alam juga turut kuat dengan pemuka seperti Abdul Ghaffar Ibrahim
(AGI), Latiff Mohidin dan Siti Zainon. Kumpulan ini gemar bereksperimen dengan
gabungan Seni Halus, Sastera dan Teater. Mereka pernah membuat persembahan, AGI
membaca sajak 3Vnya sambil Latiff Mohidin membuat interpretasi melalui gaya
lakonan dan tarian improvisasi (dengan kostum). Kesinambungan seterusnya
dilakukan oleh kumpulan-kumpulan teater di sekitar Kuala Lumpur sehingga awal
tahun 1990an. Begitu juga dengan penggunaan media elektronik yang telah
dirintis oleh Kamaruzzaman Mohd. Isa sejak 17 tahun yang lalu.
Seperti yang telah
dijelaskan sebelumnya, menghadapi karya-karya yang keluar dari kerangka
modenidme (kebiasaannya yang bercirikan pascamoden) adalah suatu keluarbiasaan
di sudut apresiasi. Keluarbiasaan ini timbul dari cabaran-cabaran dogma yang
lama melekat.
Dalam beberapa
hal, intipati modul kritikan dari pengkritik mapantelah saya gunakan di sini
(termasuk dari bidang teater dan sastera). Namun kalau terjadi intentional
fallacy (kekeliruan tujuan) ia mungkin terjadi di sana sini, namun saya
cuba untuk memastikan ia tidak bersifat kosmetik atau retrogresif. 'Percubaan'
harus dimulakan dan dibuat, bukan hanya 'artifak' yang disimpan dan
dipuja-puja. Dalam pergelutan fikiran, pascamoden pun bermula.....
Umumnya kurang 20 karya
telah dipamerkan dalam pelbagai kaedah dan corak persembahan. Dari gaya
minimalis, seni pemasangan, seni persembahan, site specific installation, seni
video dan juga yang menggunakan kaedah interaktif.
Iziady Isa (I, II, III) telah melakukan sebuah seni persembahan ala ketenteraan
sebagai manifestasinya terhadap konflik kuasa dan perperangan; musibah dan
bencana yang mungkin terjadi. Melalui Toffler dan berberapa teori perperangan,
karya ini mula digagaskan. Interaksi oleh pelakon-pelakon yang menembak beliau
adalah metafora yang ironis seolah-olah kita gembira dengan perperangan.
Metonomi telah terjadi di sini. Selalunya kita menyebut sesuatu untuk merujuk
kepada yang lain contohnya padang; merujuk kepada permainan. Asas struktulis
ini kadangkala dapat menyediakan asas apresiasi. Sebuah 'tanda' - jaket perang,
belon, bom asap dan pistol dapat menyediakan sebuah rangka rujuk urutan
horizontal, contohnya skrit-blaus-jaket. Lanjutannya berasaskan parole
(gabungan urutan). Kecualilah anda ada penyakit aphaesia, teori ini
tidak boleh digunakan. Kita memerlukan konteks yang berorientasikan khalayak
untuk melanjutkan metonomi bacaan. Iziady mahu bercerita tentang perperangan
tetapi mengapa ada papan dat dan belon ? Inilah metonimimnya; hubungan dua
konteks dalam satu rantaian apresiasi. Metonimi sebenarnya lebih kontras
dariada metafora dan elemen-elemen yang bertindak membina kultus dan kefahaman
khalayak.
Sejajar dengan
karya Goe Tunggal, Modiana Koliew dan Nurlidiana, metonim menunjukkan bahawa
'konteks adalah segalanya'. Dalam filem, hubungan seks digambarkan dengan roket
dan gelombang lautan atau hentakan batu untuk menamam konkrit bangunan. Karya
Goe mempunyai kecenderungan Post-Struktulis yang melihat sesuatu itu sebagai
anti-jagoan atau komik. 'Memecah' dalam konteks teori pascamoden selalu dirujuk
kepada Derrida. Tiada siapa yang mutlak. Demua boleh dirombak.
Asas dekonstruksi
Derrida adalah canggih sebenarnya. Beliau mempersoalkan asas falsafah
metafizika barat yang bersifat 'struktur' dan 'pusat'. Dan hal ini jelas
ditonjolkan oleh Goe. Dia kurang percaya lagi kepada suatu ideologi ketat
(mutlak). Ideologi sering mengadakan sempadan ketat di antara apa yang diterima
dan dan tidak, diri dan bukan diri, kebenaran dan kepalsuan, munasabah dan
karut, taakul dan kegilaan, pusat dan pinggiran, zahir dan batin (T. Eangleton:
1983). Hal ini digemari oleh strukturalis demi memudahkan struktur kritikannya.
Namun dekonstruksi tidak mempercayainya dan membiarkan sifat keadaan itu
terpendam lalu dibongkar semuanya sekali dan menangkap sesesuatu yang
mengganggu (dalam karya) secara paling nekad dan radikal sehingga menjadi
paradoks paling ekstrem dalam karya.
Goe menyoal
nuansa-nuansa masyarakatnya; Melanau, tentang patung-patung Dakan @ Belum yang
boleh mengubati penyakit. Adakah ia berkesan Goe membuat dekonstruksi kerana
dia percaya ia adalah karut dan perlu dimusnahkan.
Tindakannya
drastik. Metaforanya botol-botol (ironisnya botol PEPSI) yang mengandungi
tangkal azimat yang dilastik pada satu jarak sehingga pecah berderai.
Persembahan itu meyakinkan Secara falsafahnya dia menyingkirkan metafizikal
walaupun mungkin sedikit. Metafizik menuntut pusat dan struktur demi menjamin
'kehadiran sesuatu', lalu menyisihkan apa yang berada di luar pusat. Dalam hal
Goe dan tentangan kaumnya; mesti buat ini dan janganbuat itu (struktur dan
hierarki). Namun dia merombak secara radikal tanpa pertimbangan buruk baik,
hitam putihnya. Dia menggunakan nilainya sendiri yang dahulunya mungkin
disisihkan (dipantangkan) lalu nilai yang kecil ini dapat membongkar/merombak
seluruh sistem yang wujud dan mempersendakannya pula dengan mengenal titik
'aporia' atau kebuntuan makna. Inilah asas pemikiran Derrida dan asas dekonstruksinya.
Tindakan yang sama
juga berlaku pada persembahan Modiana dengan memecahkan instalsi belon-belon
yang dilukiskan dengan motif pribumi. Situasi ini ini menegaskan kehilangan
konsistensi dan membuakkan sikap kritis. Sikap kritis yang mendedahkan 'kontradiksi'
dan keraguan-keraguan'. Keadaan ini dijelaskan oleh G. Hartiman - seorang ahli
dekonstruksi Amerika (pengikut Derrida dan De Man). Dia melihat dekonstruksi
derada dalam sen dan bukat alat kritikan.
Secara mudahnya
karya-karya dalam pameran ini boleh dipecahkan kepada dua kecenderungan iaitu
bersikap/bersifat strukturalis dan pascastrukturalis. Sikap strukturalis adalah
struktur dalam bentuk kod yang wujud dalam idea dan dikaryakan. Keadaan ini
menyerlahkan keluarbiasaan karya (secara bandingan dengan golongan formalis
estetik). Intinya adalah keghairahan (ilmu) untuk menemukan kod, hukum dan
sistem yang menjadi dasar semua tindakan sosial manusia (Raman Selden:1986).
Arkeologi dan geologi sering dijadikan model usaha strukturalis.
Karya Ismail Taril
dengan taktik formalis secara instalasi menemukan hal terbabit. Begitu juga
karya Karim Redzuan dengan instalasi payung (mengingatkan saya pada Christro)
yang setinggi lebih kurang 15 kaki dan selebar 10 kaki. Karya Tinggang dan
Doreen adalah senada dalam aspek tindakbalas minda sebagai lanjutan minimal ke
atas situasi budaya dan sosiol masyarakat. Sementara taktik Nurlydiana dan Lily
berpotensi untuk digemakan lagi. Dari pembacaan teras budaya pascamoden, karya
mereka memiliki 'penanda' yang kuat. Mereka menyirat ironi, deteritorialisasi,
deferansi dan menyungguhkan piknolepsi. Begitu juga Zainal Isa dengan rombakan
kolaj ikon-ikon P.Ramlee. Sistem-sistem kod gramatologi berkisar di sana sini.
Namun, sejauh mana kesannya ke atas rombakan imej sukar dijangka.
Mazni pula
bermetafora dengan alam sekitar dan menjadikan buah dan ulat sebagai subjeknya.
Beliau juga romantis dengan karyanya. Apabila karya itu dipasangkan di atas
padang pada waktu malam sambil dinyalakan lilin di dalam buah-buah tersebut,
frekuensi romantis kadang kala sesuai untuk situasi 'tak terduga tenaganya'
(hubungan alam dan manusia). Namun takat tepu dan faktor persekitaran
kadangkala dapat meletakkan unsur emosi kena pada tempatnya. Seperti juga
bernostalgia, apabila kenangan lama tumbuh sambil kita berada pada jarak masa
yang relatif berbeza, ia menawarkan kawasan idea yang subur.
Mungkin hal ini
yang mengganggu Ariffin dengan karya instalasi permainan kanak-kanak lama yang
diperjelaskan denga grid dan ikon tanah. Ianya aalah strukturalis pekat. Dia
ingin menguasai keadaan secara keras dan berstruktur. Dia juga mencabar idiom
yang mengekang lingkungannya. Ada yang dituruti dan ada yang tidak-mengkut
naluri semasa. Hal ini mungkin berteraskan faktor nilai yang relatifnya
berbeza-beza. Soal adat dan pantang larang. Adakah akan terus dipertahankan ?
Atau boleh diamalkan sambil lewa ? Adakah wajar dipertahankan ? Sampai bila ?
Yang merasa
mungkin tidak sama dengan yang mengalami. Jika dibicarakan secara kejiwaan,
mungkin itulah kesannya pada karya Hasrul. Karyanya melankolik dan digesa oleh
rangupnya unsur semiotik yang distrukturkan. Seperti gaya seniman Fluxus;
bersama sebuah kamera video, TV dan cawan-cawan plastik. Dia mungkin sedar
tentang kehadiran realiti (ruang dan masa) dan suasana mistik. Namun, sejauh
mana pula keras dan pejalnya idea itu dibentuk dapat dilihat pada potensi ruang
persembahannya dan konsistensinya pada idea sendiri. Sebuah ruang yang rumit
dan payah.
Dan safri pula
berlegar pada asas pemikiran Barthes dan Kristera tentang nilai sosial,
pengalaman dan budaya dalam kancah teks. Digomel, disendat, diselit dan dibina.
Dari sebuah lanjutan garis dan lukisan. Menuju teks dan pemutusan. Sebuah
Interteks.
0 komentar:
Posting Komentar